Bab 1 : Hospital

Di dalam kegelapan yang pekat, Hanz melihat sebuah tragedi yang amat malang menimpa keluarganya. Api marak menyala, diselangi jeritan yang memecahkan keheningan malam. Bau asap dan darah seolah-olah masih melekat di deria hidungnya. Walaupun dia tahu itu hanyalah mimpi, kesakitan yang dirasainya terlalu nyata, seakan-akan tubuhnya benar-benar berada di tempat kejadian. Mimpi ngeri itu tidak pernah berhenti menghantuinya, sentiasa bermain di dalam fikiran setiap kali dia cuba untuk lena.

Tiktiktik… tiktiktik…

Bunyi itu kedengaran berulang kali, perlahan tetapi jelas. Bunyi tersebut menarik Hanz keluar dari kegelapan mimpinya. Dia mengerang kecil sebelum cuba membuka matanya. Pandangannya kabur, seolah-olah dunia di sekelilingnya diselubungi kabus putih. Perlahan-lahan, bentuk siling dan cahaya lampu menjadi semakin jelas. Bau ubat-ubatan menusuk ke hidungnya.

Dalam samar penglihatannya, Hanz ternampak sesosok tubuh berpakaian putih berdiri berhampiran katilnya. Sosok itu kelihatan seperti seorang jururawat. Tidak lama kemudian, dia terdengar suara itu berkata dengan nada rendah,

“Inspektor, dia telah terjaga.”

Langkah kaki yang berat kedengaran menghampiri. Hanz memalingkan kepalanya dan melihat seorang lelaki bertubuh tinggi dan berbahu bidang berdiri di sisi katil. Wajah lelaki itu serius, penuh dengan garis keletihan, namun matanya tajam dan penuh penelitian, seolah-olah sedang menilai setiap gerak-gerinya.

“Hanz, adakah kamu sudah sedar?” tanya lelaki itu.

Hanz terdiam. Nama itu kedengaran asing di telinganya, namun pada masa yang sama, jantungnya berdegup sedikit laju. Dia mengerutkan dahi, cuba mencari sesuatu di dalam fikirannya, tetapi tiada apa yang muncul selain kekosongan.

“Saya rasa encik tersalah orang,” jawab Hanz perlahan, suaranya serak dan lemah.

Lelaki itu mengangguk kecil. “Hmmm…”

“Nampaknya dia mengalami hilang ingatan selepas kemalangan pada malam itu. Ini akan menyusahkan lagi kerja aku,” katanya perlahan, seolah-olah bercakap kepada dirinya sendiri.

Lelaki tersebut kemudian duduk di kerusi di sisi katil Hanz. Nada suaranya berubah menjadi sedikit lembut. “Adakah kamu masih ingat nama kamu sendiri?”

Hanz menggelengkan kepala. Kepalanya terasa berat dan sakit, seperti ditekan dari dalam. Lelaki itu menarik nafas panjang sebelum berkata,

“Nama kamu ialah Seer Hanz. Saya seorang inspektor polis yang menyiasat kes kemalangan kamu. Bolehkah saya menyoal siasat kamu sedikit?”

Hanz mengangguk perlahan. “Apa yang tuan inspektor mahu soal saya? Adakah saya ada melakukan kesalahan?”

Inspektor itu memandang tepat ke dalam mata Hanz. “Adakah kamu langsung tidak mengingati apa yang berlaku kepada kamu pada malam kemalangan itu?”

Soalan itu seolah-olah mencetuskan sesuatu di dalam fikirannya. Tiba-tiba, kepalanya berdenyut kuat. Rasa mual mula menjalar. Bunyi-bunyi aneh bergema di telinganya, bercampur dengan suara jeritan yang samar. Potongan-potongan ingatan muncul—lampu kereta yang menyilaukan mata, bunyi brek yang nyaring, jeritan seseorang memanggil namanya, dan wajah-wajah yang dipenuhi ketakutan.

“Urghhhh!!!” jerit Hanz sambil memegang kepalanya.

Tubuhnya mula meronta kesakitan. Inspektor segera bangun dan menahan bahunya. “Bertenang, Hanz! Jururawat!” jeritnya.

Beberapa saat kemudian, jururawat bergegas masuk ke dalam bilik. Tanpa berlengah, jururawat menyuntik ubat penenang ke dalam lengan Hanz. Perlahan-lahan, jeritannya terhenti. Nafasnya kembali teratur sebelum matanya tertutup rapat.

Inspektor berdiri di sisi katil, memandang wajah Hanz yang kini tenang. Dia menghela nafas panjang. Kini dia pasti—Seer Hanz benar-benar mengalami hilang ingatan. Namun nalurinya mengatakan bahawa kemalangan itu bukan sekadar kemalangan biasa. Kebenaran masih tersembunyi di dalam minda Hanz, menunggu masa untuk muncul semula.

Dan apabila ingatan itu kembali, segalanya pasti akan berubah.

Episodes

Download

Like this story? Download the app to keep your reading history.
Download

Bonus

New users downloading the APP can read 10 episodes for free

Receive
NovelToon
Step Into A Different WORLD!
Download NovelToon APP on App Store and Google Play