Selepas beberapa jam, Hanz tertidur akibat daripada kesan ubat tidur itu. Hanz mula terjaga dan melihat di sampingnya ada seorang inspektur yang masih menunggu dirinya tersedar daripada tidur.
“Terjaga juga kamu,” kata inspektur itu.
“Berapa lama aku tertidur, tuan?” tanya Hanz kepada inspektur tersebut.
“Kira-kira kau terlelap dalam masa satu jam.”
Semasa mereka sedang berbual, tiba-tiba lampu di ruangan itu mati. Inspektur pergi melihat persekitaran di luar bilik itu dan mendapati satu bangunan sedang mengalami perkara yang sama.
“Hanz, kamu rasa kamu boleh berjalan tak?” tanya inspektur itu kepada Hanz.
“Aku boleh, tuan,” kata Hanz.
Hanz mencuba untuk berdiri dan berjalan menuju ke arah inspektur.
“Baik! Jom ikut aku untuk periksa bekalan elektrik di bahagian pintu kecemasan.”
Semasa inspektur dan Hanz berjalan di koridor yang sangat sepi itu, dalam kegelapan terdengar bunyi tapak kaki yang semakin menghampiri ke arah mereka. Apabila mereka menoleh, kelihatan sosok tinggi yang berpakaian sangat tertutup sedang memegang sebilah pisau dan menuju ke arah mereka dengan pantas.
“Ke tepi!!” kata inspektur itu kepada Hanz.
Inspektur itu menolak Hanz ke belakangnya dan menahan serangan pisau lelaki tersebut.
“Lari, cari tempat untuk bersembunyi!” jerit inspektur.
Hanz berlari dengan pantas dalam kegelapan untuk mencari tempat bersembunyi. Dalam keadaan Hanz melarikan diri, inspektur sedang bergelut dengan sosok lelaki yang membawa pisau itu.
“Siapa kau? Apa yang kau mahukan?” kata inspektur itu sambil menahan lelaki tersebut daripada terus maju mengejar Hanz.
Lelaki itu hanya berdiam diri dan terusmenyerang inspektur. Semasa mereka bergelut, inspektur mendapati lelaki itu bertangan kidal dan mempunyai ketinggian yang hampir sama dengannya. Lelaki itu sangat lincah, membuatkan inspektur berada dalam kesulitan untuk menghadapinya. Inspektur mengalami beberapa calar di bahagian tubuh badan dan kakinya.
Di dalam kegelapan yang sangat gelap, Hanz berlari dengan pantas dan mencari ruang untuk bersembunyi. Dalam pandangannya, dia melihat sebuah pintu yang terbuka luas. Hanz terus menuju ke arah pintu tersebut.
Apabila dia memasuki ruangan itu, dia cuba meraba-raba dinding dan mencari sebuah kabinet. Namun, Hanz terjatuh akibat tersadung sesuatu yang besar di lantai ruang itu. Hanz mendapati bajunya terasa lembap dan berbau sangat hanyir.
Secara tiba-tiba, bekalan elektrik kembali pulih dan ruangan itu menjadi sangat terang. Dalam tatapan Hanz sekarang terdapat sebuah mayat di lantai dengan bajunya berlumuran darah. Hanz mula berasa pening dan menggigil kerana ingatan masa lalu masih menghantui dirinya.
Tiba-tiba seorang perawat melintasi ruangan itu dan melihat Hanz yang berlumuran darah.
“Arghhhhh!!! Ada pembunuh! Tolong!”
Jeritan itu didengari oleh inspektur yang masih bergelut dengan lelaki misteri tersebut. Lelaki itu tiba-tiba menolak inspektur sehingga terjatuh dan kepalanya terbentur pada kerusi pesakit di koridor tersebut.
Selang beberapa lama kemudian, inspektur dibangunkan oleh Hanz dengan wajah yang gelisah. Inspektur melihat sekeliling dan mendapati lelaki tersebut telah melarikan diri.
“Mana lelaki yang menyerang kita tadi?” tanyanya.
“Tak tahu, tuan. Saya berlari dari bilik bedah kerana ada perawat nampak saya pegang mayat. Mesti saya disyaki sebagai pembunuh sekarang,” kata Hanz dengan cemas.
Tiba-tiba kedengaran bunyi siren di luar hospital itu.
“Apa saya nak buat ni, tuan? Polis dah sampai. Mesti saya sudah dicap sebagai pembunuh,” kata Hanz dengan perasaan takut.
“Relakslah, biar aku urus hal ini,” kata inspektur kepada Hanz dengan penuh keyakinan.
Hanz dan inspektur keluar dari pintu masuk utama hospital untuk berbincang dengan pegawai polis tersebut. Malangnya, Hanz terus ditahan. Namun, polis memberitahu inspektur bahawa Hanz perlu dibawa ke balai polis terlebih dahulu untuk memberi keterangan dengan lebih lanjut.
Apabila tiba di balai polis, Hanz memberi keterangan tentang kejadian yang berlaku di hospital tadi. Walaupun Hanz memberi keterangan dan alibi yang kukuh, polis masih berasa curiga terhadap keterangannya.
Inspektur cuba berbincang dengan pegawai polis tersebut. Hanz hanya melihat perbincangan mereka dari kejauhan. Inspektur cuba merayu agar Hanz dibebaskan, namun raut wajah inspektur berubah menjadi kecewa. Pegawai polis kemudian menghampiri Hanz.
“Maaf encik, kami perlu menahan encik sementara waktu untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut,” kata pegawai polis sambil menggari tangan Hanz.
Hanz terpaksa akur dengan penyataan tersebut, lalu dia dibawa pergi untuk dimasukkan ke dalam sel tahanan sementara.
“Jangan risau, aku pasti akan membebaskan kau nanti!” jerit inspektur kepada Hanz.
Dalam sel, Hanz meratapi nasibnya. Pada pukul 11:30 malam, pintu sel dibuka oleh salah seorang pegawai polis. Inspektur masuk ke dalam sel dan menghulurkan tangannya kepada Hanz.
“Jom keluar.”
***Download NovelToon to enjoy a better reading experience!***
Comments