BAB 4

Malam itu berlalu dengan begitu perlahan. Di dalam bilik yang luas dan sunyi itu, Arissa masih belum mampu melelapkan mata walaupun tubuhnya benar-benar keletihan. Setiap kali dia memejamkan mata, bayangan lelaki yang rebah ditembak di lorong gelap itu kembali bermain di fikirannya. Bunyi tembakan tersebut seolah-olah masih bergema di telinganya sehingga membuatkan dadanya terasa sesak. Dia memeluk kedua-dua lututnya sambil menyandarkan kepala di hujung katil. Air matanya sudah lama berhenti mengalir, namun rasa takut itu masih belum hilang.

"Ya Allah... lindungilah aku..."

Hanya itu yang mampu dibisikkan berulang kali.

Di luar bilik, beberapa orang bodyguard masih berkawal tanpa berganjak walau seinci. Banglo milik Arian Valeztian itu sentiasa dijaga selama dua puluh empat jam. Tiada sesiapa dibenarkan keluar atau masuk tanpa kebenaran lelaki tersebut.

Sementara itu, di ruang kerja yang terletak di tingkat bawah, Arian masih duduk menghadap skrin komputer riba. Di atas meja tersusun beberapa fail syarikat, laporan kewangan dan dokumen berkaitan urusan perniagaannya di Malaysia. Walaupun syarikat itu hanyalah salah satu cabang empayar perniagaan keluarganya, Arian tetap menguruskan semuanya sendiri. Baginya, kelemahan kecil mampu menjadi ruang untuk musuh menyerang.

Ketukan perlahan kedengaran di pintu.

"Masuk."

Seorang lelaki berpakaian kemas melangkah masuk sebelum menundukkan kepala.

"Boss."

"Apa?"

"Perempuan tu... masih tak tidur."

Arian tidak memberikan sebarang reaksi. Tangannya masih membelek beberapa dokumen di atas meja.

"Menangis?"

Lelaki itu mengangguk perlahan.

"Sejak tadi."

Arian hanya menghela nafas kecil.

"Pastikan dia makan."

"Kalau dia tak nak?"

"Paksa."

"Baik, boss."

Sebaik sahaja lelaki itu keluar, Arian menyandarkan badannya pada kerusi kulit yang didudukinya. Entah mengapa, fikirannya masih memikirkan gadis yang baru dikenalinya beberapa jam lalu. Nama Arissa Qaisarah terus berlegar-legar di dalam kepalanya bersama satu nama keluarga yang sudah lama tidak didengarinya.

Scartias.

Nama itu bukan sekadar nama.

Nama itu membawa seribu satu kisah yang masih belum selesai.

Namun buat masa ini, dia belum mahu membuat sebarang andaian. Dia hanya mengikut arahan ayahnya.

"Cari anak Uncle Darmian... dan apabila tiba masanya, bawa dia pulang."

Itulah kata-kata terakhir ayahnya sebelum dia berangkat ke Malaysia dua tahun lalu.

Kini...

Dia akhirnya berjaya menemui gadis tersebut.

Jam menunjukkan hampir pukul lima pagi apabila Arissa akhirnya terlena kerana terlalu letih menangis. Tidurnya tidak lena. Beberapa kali dia terjaga akibat mimpi buruk sebelum kembali terlelap.

Tidak lama kemudian, bunyi azan Subuh dari sebuah masjid yang terletak agak jauh mula berkumandang perlahan. Suara itu tidak begitu jelas dari dalam banglo yang besar itu, namun cukup untuk mengejutkan Arissa daripada tidurnya.

Dia membuka mata perlahan lalu melihat cahaya matahari yang masih samar-samar menembusi celah langsir.

"Subuh..."

Arissa terus bangun daripada katil. Secara spontan matanya mencari telekung seperti kebiasaannya di rumah, namun beberapa saat kemudian dia tersedar.

"Astaghfirullah..."

Dia menggigit bibir bawah.

"Telekung..."

Pandangannya mula melilau ke seluruh bilik. Dia membuka almari, melihat ke dalam laci dan memeriksa setiap sudut bilik, namun hampa.

Tiada.

Langsung tiada.

"Macam mana ni..."

Barulah dia teringat satu lagi perkara.

"Arah kiblat..."

Dia langsung tidak tahu di mana arah kiblat di banglo itu.

Ketika dia masih berdiri kebingungan di tengah bilik, matanya tertancap pada sebuah sofa panjang yang berada di sudut bilik. Nafasnya terus terhenti seketika.

Seorang lelaki sedang tidur di situ.

Lengannya disilang di dada, manakala kot hitam yang dipakainya malam tadi masih tersarung kemas. Wajahnya kelihatan jauh lebih tenang ketika sedang tidur, namun aura dingin itu tetap tidak hilang.

Arian Valeztian.

Arissa mengerutkan dahi.

"Dia tidur... dalam bilik ni?"

Dia berdiri beberapa saat sambil berfikir sama ada mahu mengejutkan lelaki itu ataupun tidak.

Namun waktu Subuh semakin hampir berlalu.

Dengan langkah yang perlahan, dia menghampiri sofa tersebut.

"Emm..."

Tiada reaksi.

"Encik..."

Masih diam.

Arissa memberanikan diri sedikit lagi.

"Encik... bangun sekejap..."

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Arian terus membuka mata. Tatapan tajam lelaki itu membuatkan Arissa terundur setapak kerana terkejut.

"What's wrong?"

Suara garau itu masih kedengaran seperti malam tadi.

"Kenapa kacau aku tidur?"

Arissa terus menundukkan wajah.

"S-sorry... saya tak sengaja..."

"Bercakap."

"Saya nak tanya..."

"Apa?"

"Kat rumah ni... ada telekung tak?"

Arian terus mengerutkan dahinya.

"...Telekung?"

"Saya nak solat Subuh... tapi saya tak jumpa telekung. Lepas tu... arah kiblat dekat mana ya?"

Untuk beberapa saat, Arian hanya memandang wajah gadis itu tanpa berkata apa-apa.

Kemudian dia menghela nafas kecil.

"Oh..."

"Aku lupa."

"Kau Islam."

Arissa mengangguk perlahan.

Arian bangun daripada sofa lalu berdiri tegak di hadapan Arissa.

"Kat rumah ni semuanya Kristian."

"Tak ada telekung."

"Dan..."

Dia mengangkat bahu sedikit.

"Aku tak tahu arah kiblat yang kau cakap tu."

Arissa menggigit bibirnya.

"Kalau macam tu..."

Dia menarik nafas perlahan.

"Saya nak balik."

Arian mengangkat sebelah kening.

"Balik?"

"Saya nak solat... lagipun saya tak selesa dekat sini."

Beberapa saat suasana kembali sunyi.

Kemudian...

"Boleh."

Jawapan ringkas itu membuatkan mata Arissa terus bersinar.

"Betul?"

"Tapi..."

Belum sempat Arissa tersenyum lega, Arian menyambung dengan wajah yang kembali dingin.

"Mulai esok..."

"Kau kerja dengan aku."

Arissa terus terpinga-pinga.

"...Kerja?"

"Kerja apa?"

Arian memandang tepat ke arah wajahnya.

"Jangan risau."

"Aku tak suruh kau buang mayat."

Selesai berkata begitu, dia mengeluarkan sekeping kad nama daripada dompetnya lalu menghulurkannya kepada Arissa.

"Datang syarikat ni."

"Jam lapan pagi."

"Jangan lambat."

Arissa menyambut kad tersebut perlahan-lahan. Matanya terus tertumpu pada nama yang tertera.

VALEZTIAN HOLDINGS (MALAYSIA) SDN. BHD.

Di bawahnya tertulis...

ARIAN VALEZTIAN

Chief Executive Officer

Jantung Arissa kembali berdegup laju.

"Bos syarikat?"

"Aku ingatkan... dia cuma mafia..."

Dia langsung tidak sedar bahawa kehidupan yang tenang selama sembilan belas tahun itu baru sahaja berubah... dan semuanya bermula dengan sekeping kad nama di tangannya.

Episodes

Download

Like this story? Download the app to keep your reading history.
Download

Bonus

New users downloading the APP can read 10 episodes for free

Receive
NovelToon
Step Into A Different WORLD!
Download NovelToon APP on App Store and Google Play