BAB 5

Keesokan paginya, Arissa bangun lebih awal daripada kebiasaan. Selepas menunaikan solat Subuh, dia bersiap dengan pakaian yang sederhana namun kemas. Kemeja putih dipadankan dengan skirt hitam paras buku lali serta blazer nipis berwarna krim menjadikan penampilannya kelihatan sopan. Rambut panjangnya diikat rendah sebelum dia mencapai kad nama yang diberikan oleh Arian malam tadi. Matanya tertumpu pada tulisan Valeztian Holdings (Malaysia) Sdn. Bhd. sambil menghela nafas perlahan.

"Ya Allah... permudahkanlah urusan aku hari ini."

Selepas membaca doa, dia melangkah keluar menuju ke syarikat tersebut.

Bangunan pencakar langit yang berdiri megah di hadapannya membuatkan Arissa terpaku seketika. Logo VALEZTIAN HOLDINGS terpampang besar di bahagian atas bangunan kaca itu. Pekerja-pekerja yang keluar masuk semuanya berpakaian kemas, masing-masing kelihatan sibuk dengan urusan sendiri.

"Besarnya syarikat ni..." bisiknya perlahan.

Dia menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk ke dalam lobi. Belum sempat dia menghampiri kaunter penyambut tetamu, seorang wanita bertubuh langsing dengan kasut tumit tinggi melangkah menghampirinya. Solekannya kelihatan sempurna, rambutnya yang berwarna perang gelap dibiarkan mengurai, manakala senyuman nipis di bibirnya jelas dibuat-buat.

"Awak Arissa?" soal wanita itu sambil memandang Arissa dari atas hingga ke bawah.

"Ya... saya Arissa."

Wanita itu mengangguk perlahan.

"Saya Natasha. Encik Arian masih ada mesyuarat. Awak tunggu dulu dekat lobi."

Nada suaranya kedengaran sopan, namun pandangan matanya jelas tidak menyenangkan. Dia memandang wajah Arissa beberapa saat sebelum tersenyum sinis.

"Patutlah..." bisiknya di dalam hati. "Cantik juga perempuan ni..."

Natasha sudah hampir dua tahun bekerja di bawah Arian. Selama itu jugalah dia mencuba pelbagai cara untuk menambat hati lelaki tersebut. Hadiah mahal, makan malam, pakaian yang menarik perhatian, malah sengaja mencari alasan untuk berjumpa setiap hari. Namun semuanya sia-sia. Arian langsung tidak pernah memandangnya lebih daripada seorang pekerja.

Kini, kemunculan Arissa membuatkan hatinya mula dipenuhi rasa cemburu.

Arissa pula langsung tidak menyedari pandangan tajam wanita itu. Dia hanya duduk diam di sofa lobi sambil memerhatikan suasana sekeliling.

Hampir tiga puluh minit berlalu.

Seorang lelaki berkaca mata yang berpakaian kemas berjalan menghampiri Arissa sambil membawa sebuah fail di tangannya.

"Cik Arissa?"

Arissa segera berdiri.

"Ya."

"Encik Arian minta cik naik ke pejabatnya sekarang."

Lelaki itu menghulurkan senyuman kecil.

"Saya Lukman."

"Silakan ikut saya."

Arissa mengangguk perlahan sebelum mengekori langkah Lukman menuju ke lif khas yang hanya digunakan oleh pihak pengurusan. Sepanjang perjalanan, dia hanya mampu memandang dinding kaca bangunan yang memperlihatkan pemandangan bandar Kuala Lumpur dari aras yang tinggi.

Setibanya di tingkat paling atas, Lukman berhenti di hadapan sebuah pintu besar berwarna hitam.

Tok...

Tok...

Tok...

"Masuk."

Suara garau itu kedengaran dari dalam.

Lukman membuka pintu perlahan sebelum memberi laluan kepada Arissa.

Dengan membaca "Bismillahirrahmanirrahim" di dalam hati, Arissa melangkah masuk ke pejabat yang begitu luas. Arian sedang duduk di kerusi kulit sambil meneliti beberapa dokumen. Wajahnya masih sama seperti semalam—dingin dan sukar dibaca.

"Duduk."

Arissa menurut tanpa banyak soal.

Beberapa saat kemudian dia memberanikan diri bertanya.

"Encik... semalam encik kata saya kerja dekat sini. Jadi... kerja apa sebenarnya?"

Arian meletakkan pen di atas meja lalu bangun perlahan. Dia berjalan menghampiri Arissa sehingga gadis itu terpaksa mendongakkan sedikit wajahnya untuk memandang lelaki tersebut.

"Kau jadi personal assistant aku."

Mata Arissa terus membulat.

"PA?"

Arian mengangguk perlahan.

"Ke mana saja aku pergi, kau ikut. Kalau aku ada mesyuarat, kau ada. Kalau aku keluar makan tengah hari, kau ikut. Kalau aku perlukan apa-apa, kau yang uruskan. Faham?"

Arissa terdiam beberapa saat sebelum mengangguk.

"Boleh... jadi saya mula kerja hari ni?"

"Hm."

Arian kembali ke mejanya.

"Keluar nanti, cari Siska. Dia akan tunjuk meja kerja kau."

"Baik, encik."

Arissa berdiri lalu berpusing menuju ke pintu. Namun baru beberapa langkah dia berjalan, suara Arian sekali lagi menghentikan langkahnya.

"Oh ya."

Arissa segera menoleh.

"Ya?"

"Aku terlupa nak cakap."

"Apa dia?"

"Itu cuma shift pagi."

Arissa mengerutkan dahinya.

"Shift pagi?"

"Maksudnya... saya kerja ikut shift?"

"Ya."

Arian menjawab selamba.

"Shift pagi dekat pejabat."

Arissa mengangguk perlahan.

"Okey..."

"Shift malam..."

Arian menyambung sambil memandang tepat ke arahnya.

"...dekat rumah aku."

"Arghh?!"

Arissa terus terbatuk kecil kerana terkejut.

"Rumah encik? Tapi... saya—"

"Tak ada tapi."

Suara Arian memotong.

"Dah pergi buat kerja."

Kemudian dia menyambung dengan nada yang tegas.

"Kalau aku panggil..."

"...datang."

Arissa hanya mampu mengangguk perlahan sebelum keluar dari pejabat itu dengan kepala yang masih dipenuhi seribu persoalan.

Di luar pejabat, Lukman sudah pun menunggu sambil tersenyum kecil.

"Cik Arissa."

"Jom. Saya kenalkan dengan Siska."

Tidak jauh dari situ, seorang gadis bertudung berusia sekitar sembilan belas tahun sedang menyusun beberapa fail di atas mejanya. Wajahnya manis dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

"Siska."

Gadis itu menoleh.

"Ya, kenapaa Lukman?"

"Ni Arissa. PA baru encik Arian."

Siska terus tersenyum lebar.

"Hai! Saya Siska. Selamat datang."

Arissa membalas senyuman itu dengan rasa lega. Akhirnya ada juga seseorang yang kelihatan mesra di tempat kerja baharunya.

Belum sempat mereka berbual panjang, telefon bimbit Arissa tiba-tiba berdering. Tertera nama Kak Ros pada skrin. Tanpa berlengah, dia menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, Kak Ros."

"Waalaikumussalam, Arissa. Maaflah akak ganggu waktu kerja. Akak sebenarnya nak beritahu... boleh tak Arissa kosongkan apartment tu secepat mungkin?"

Arissa terpaku.

"Kenapa pula, kak? Bukankah saya dah bayar sewa bulan ni?"

"Akak tahu... tapi ada orang yang betul-betul nak rumah tu. Dia sanggup bayar lebih tinggi. Rumah lain pula semuanya dah penuh. Akak pun serba salah..."

Wajah Arissa mula berubah.

"Akak... janganlah macam ni. Saya nak tinggal dekat mana nanti? Saya tak ada keluarga dekat sini..."

Suara di hujung talian kedengaran semakin perlahan.

"Maaf sangat, Arissa. Akak pun tak ada pilihan. Tolong keluar secepat mungkin ya..."

Talian dimatikan.

"Hello...? Kak Ros? Hello..."

Arissa menurunkan perlahan telefon di tangannya. Matanya mula berkaca.

"Ya Allah..."

Buat pertama kali selepas sekian lama...

Dia benar-benar tidak tahu ke mana harus dia pulang.

Episodes

Download

Like this story? Download the app to keep your reading history.
Download

Bonus

New users downloading the APP can read 10 episodes for free

Receive
NovelToon
Step Into A Different WORLD!
Download NovelToon APP on App Store and Google Play